IMBAS : WAWASAN 2020

1287 views

Bagi warga Malaysia yang membesar di era 90an dan awal 2000, kita sering diwar-warkan dengan matlamat negara ini untuk mencapai status negara maju pada tahu 2020. Ia telah diperkenalkan pada tahun 1991 oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Dr. Mahathir Mohamad.

Wawasan 2020 menggariskan hala tuju untuk mencapai status negara maju dengan mensasarkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 7 peratus setahun sehingga tahun 2020.

Kunci kepada pencapaian negara maju ialah dengan mengatasi sembilan cabaran strategik, iaitu:

  1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara;
  2. Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain;
  3. Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun;
  4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling tinggi;
  5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;
  6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan;
  7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh;
  8. Pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum; dan
  9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Ada sesetengah sekolah ketika itu menjadikan lagu “Wawasan 2020”  sebagai lagu wajib di dalam perhimpunan mingguan sekolah. Tidak kurang juga banyak kali diputarkan lagu berkenaan di corong radio dan televisyen.

Dalam subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni juga pelajar telah disuruh berimaginasi tentang apa yang akan berlaku pada tahun berkenaan. Ada yang menulis karangan dan melukis berkenaan reka bentuk bangunan yang pelik-pelik dan tidak kurang juga kenderaan yang boleh terbang terutama kereta. Hebat sekali imaginasi para pelajar ketika itu.

Namun dengan hanya tinggal 3 tahun lagi ke arah tahun 2020, para pelajar yang dibesarkan pada zaman tersebut kebanyakannya kini berumur 35 hingga 50 tahun terpaksa menerima hakikat bahawa Malaysia dan masa depan yang dibayangkan tidak seperti realitinya yang diharapkan.

Jurang kemiskinan masih lagi wujud walaupun dapat dikurangkan, rakyat masih lagi menderita dengan kos sara hidup yang kian meningkat walaupun dikatakan pendapatan rakyat telah meningkat. Rasuah dan jenayah kolar putih masih lagi berleluasa sehingga penangkapan besar-besaran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM). Cemuhan dan kesipuan oleh rakyat Malaysia di luar negara untuk menyatakan kebanggaan menjadi rakyat Malaysia dapat didengar di mana-mana.

Untuk itu marilah kita sama-sama bersatu untuk membina Malaysia yang boleh kita banggakan.

Sumber : EPU

Jom kita imbas kembali lagu wawasan 2020.

 

Tags: #IMBAS

Leave a reply "IMBAS : WAWASAN 2020"

Author: 
author
No related post!